Bola Sepak

Kemenangan di Piala FA jadi inspirasi Man City

Oleh Reuters

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, Arsenal adalah pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika dia menyiapkan pasukan untuk perlawanan dua kelab teratas liga di Emirates, awal pagi Khamis.

City yang menduduki tempat kedua liga dan ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal yang memiliki kelebihan satu perlawanan, berharap dapat merapatkan jurang di tangga teratas selepas menewaskan Aston Villa, 3-1, Ahad lalu.

City yang juga juara bertahan akan mendapatkan inspirasi daripada kemenangan 1-0 pada aksi Piala FA ke atas kelab London itu, bulan lalu.

"Setakat ini, mereka adalah pasukan terbaik di EPL," kata Guardiola pada sidang media, hari ini.

"Kami merasakannya ketika perlawanan Piala FA, beberapa minggu lalu. Selain komitmen, mereka agak tajam. Jadi perlawanan Khamis ini sangat besar dan kami perlu bersedia.

"Saya tidak percaya minggu lalu kami gagal bermain dengan baik dan kemudian berada pada prestasi terbaik semula. Setiap perlawanan berbeza, anda boleh bermain dengan dan menang dan semuanya sempurna, tetapi esoknya anda kalah.

"Esok adalah perlawanan penting, semua orang tahu hakikat itu dan kami akan melakukan yang terbaik."

Guardiola turut menolak andaian kemenangan Ahad lalu memberikan semangat kepada pasukannya berdasarkan kerjasama sepasukan tidak ditunjukkan sepenuhnya dengan keputusan perlawanan.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata: "Selepas kemenangan ke atas Arsenal pada Piala FA, kebersamaan dalam pasukan memang nyata dan mereka adalah manusia yang luar biasa. Semua orang membuat silap dan saya yang pertama.

"Mood pasukan berada dalam keadaan sangat baik, tersangat baik. Banyak perkara berlaku seperti kejayaan, tetapi ada masanya sesuatu perkara perlu diubah untuk memahami keadaan dengan cara berbeza.

"Kami bangga dapat bersama-sama bukan kerana kemenangan ke atas Villa atau kekalahan di tangan Spurs (Tottenham Hotspur)."

Disiarkan pada: February 14, 2023 @ 10:09pm
d