Bola Sepak

Fayadh bakal jalani rawatan susulan

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Fayadh Zulkifli akan menjalani rawatan susulan akibat kecederaan hidung yang dialaminya ketika aksi perlawanan Jejajah Pramusim 2023 di Antalya, Turkiye dua hari lalu.

Kecederaan yang dialami Fayadh itu berlaku ketika aksi skuad Sang Kenari menentang kelab FC Metalist Kharkiv yang menyaksikan pemain kelab Ukraine melakukan asakan keras ke atas Fayadh pada minit ke-42 perlawanan, Selasa lalu.

Menerusi maklumat daripada media Sang Kenari, Fayadh bakal menjalani rawatan susulan sebaik skuad Sang Kenari tiba di Kedah esok.

"Kecederaan yang dialami Fayadh semalam (kelmarin) adalah akibat terjahan kaki ke mukanya menyebabkan kecederaan di bahagian hidung dan memerlukan rawatan susulan di Alor Setar, Kedah.

"Walaupun keadaan beliau stabil, untuk pulih sepenuhnya Fayadh akan membuat rawatan pemulihan segera bersama pakar perubatan pasukan.

"Kami mendoakan Fayadh cepat pulih dan dapat membantu Sang Kenari menjelang aksi pembukaan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Februari ini," katanya.

Sementara itu, skuad kendalian Nafuzi Zain dilaporkan media Sang Kenari telah bertolak balik ke Malaysia semalam dari Antalya, Turkiye dan bakal menempuh perjalanan panjang perjalanan melalui transit di Istanbul sebelum menyambung perjalanan ke Kuala Lumpur dan Alor Setar.

"Doakan pemain selamat tiba ke Negeri Jelapang Padi yang tercinta dan pemain dijangka tiba pada Khamis tengah malam Khamis di Alor Setar," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 4:14pm
d