Bola Sepak

Troussier ketua jurulatih baharu Vietnam

Oleh Reuters

Hanoi: Bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier bakal mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih baharu Vietnam, demikian pengesahan badan induk negara itu, hari ini.

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) berkata persetujuan sudah dicapai dengan pengendali dari Perancis itu untuk membimbing kedua-dua pasukan kebangsaan senior dan pasukan bawah 23 tahun negara itu berikutan pengunduran pengendali dari Korea Selatan, Park Hang-seo.

"Pemilihan untuk jawatan ini telah dijalankan dengan teliti oleh VFF dengan proses yang sangat ketat," kata organisasi itu dalam satu kenyataan di laman web mereka.

"VFF dan Philippe Troussier pada dasarnya telah mencapai kata sepakat dan persetujuan mengenai kandungan yang berkaitan dengan tugas itu serta matlamat dan tugasan dalam tempoh yang akan datang."

Troussier, yang sebelum ini mengetuai pasukan bawah 19 tahun negara itu, dijangka diumumkan secara rasmi pada satu majlis di Hanoi sebelum akhir bulan ini.

Vietnam sudah layak ke Piala Asia, yang dijadualkan berlangsung di Qatar awal tahun depan.

Mereka juga menamatkan saingan sebagai naib juara Piala AFF selepas tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

Troussier mempunyai sejarah yang mengagumkan dalam bola sepak Asia apabila membawa Jepun merangkul kejuaraan Piala Asia pada tahun 2000, kejayaan yang turut menyaksikannya dinamakan sebagai jurulatih terbaik benua itu.

Dua tahun kemudian dia mengemudi Jepun ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia di tanah air sendiri.

Dia juga pernah bekerja di Qatar apabila menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, dan di China sebagai ketua jurulatih pasukan liga Shenzhen Ruby dan Hangzhou Greentown.

Disiarkan pada: February 16, 2023 @ 9:04pm
d