Bola Sepak

Perak FC harap masalah lampu diselesaikan segera

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kejadian curi kabel lampu di Stadium Perak, Ipoh diharapkan dapat diselesaikan segera sebelum sepak mula Liga Super antara Perak FC menentang Kedah Darul Aman FC, pada Sabtu depan.

Harapan itu diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang berharap isu berkenaan dapat ditangani segera bagi membolehkan anak buah Datuk Lim Teong Kim untuk kekal beraksi di sebelah malam bagi memastikan nilai komersial perlawanan itu tidak terganggu.

Bagaimanapun katanya, pemain tetap bersedia bermain di sebelah petang jika masalah lampu tidak dapat diselesaikan oleh pemilik stadium iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam tempoh terdekat ini.

"Kita tak ada masalah untuk bermain petang ataupun malam kerana suatu hari nanti kita akan main juga. Cuma dari segi komersial mungkin ganggu sikit sebab kita harap main malam kerana lebih ramai penyokong akan datang.

"Kalau petang ada penyokong yang masih bekerja jadi mungkin tak sempat nak datang ke stadium. Kalau malam mungkin lebih ramai yang datang di samping kita juga sediakan pelbagai aktiviti di luar stadium.

"Apapun kita tunggu daripada pihak MBI. Saya ada membaca kenyataan yang mereka akan cuba selesaikan sebelum 25 Februari ini. Tapi kalau tak sempat juga, kita akan main petang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kelmarin, tular di laman sosial gambar kabel lampu limpah di Stadium Perak dicuri pihak tidak bertanggungjawab ketika aksi pertama skuad The Bos Gaurus di venue berkenaan bertemu Kedah hanya tinggal seminggu sahaja.

Ditanya adakah ia suatu tindakan sabotaj pihak-pihak tertentu, Bobie enggan mengulas sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada pihak polis.

"Saya tak mahu timbulkan sebarang spekulasi. Apa yang saya dimaklumkan, pihak MBI sudah membuat laporan polis dan kita serahkan kepada polis untuk menyiasat perkara ini.

"Kita tak nak ganggu siasatan polis dan kita harap perkara ini dapat diselesaikan. Kita cuma fokus kepada persiapan pasukan dan harap lampu dapat digunakan untuk perlawanan di sebelah malam lawan Kedah nanti.

"Jika tak kita akan main petang. Kita juga tak ada stadium lain, hanya akan guna Stadium Perak sahaja," katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2023 @ 12:38pm
d