Bola Sepak

Eksport pemain akan jadi agenda utama FAM

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Dasar 'mengeksport' pemain tempatan ke luar negara bakal menjadi antara agenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ini bagi memastikan kualiti anak tempatan meningkat sekali gus memberi impak kepada pasukan kebangsaan.

Hasrat itu dinyatakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui misi itu sedang giat dirancang dengan beliau akan memohon bantuan, sokongan serta pandangan daripada rakan-rakan dalam Ahli Majlis Fifa untuk melaksanakan perkara itu.

Begitupun Hamidin akui bukan mudah di mana ia menuntut kerjasama semua pihak terutamanya daripada ibu bapa bagi melepaskan pemain-pemain yang dilihat memiliki potensi untuk 'dieksport' ke luar negara khususnya Eropah.

"Saya memang ada perancangan ke arah itu dan kita akan usaha untuk menjalinkan kerjasama dengan negara-negara yang boleh membantu pemain muda kita berkembang di luar negara.

"Kesukaran di sini mungkin daripada ibu bapa yang mungkin bimbang untuk lepaskan anak bermain jauh. Perkara ini yang kita kena selesaikan.

"Kita tak mahu ada pemain yang pergi lepas itu balik tak sampai setahun. Kalau boleh kita nak pemain yang ada jiwa macam Luqman Hakim Shamsudin yang jiwanya kental kat luar," katanya kepada Arena Metro.

Apa yang dirancang Hamidin itu sememangnya tepat di mana beberapa buah negara sudah membuktikannya termasuk Nigeria, Mesir, Ivory Coast dan Jepun yang menekankan mentaliti pandang ke Eropah.

Jepun misalnya, kejayaan mereka di pentas Piala Dunia Qatar hujung tahun lalu apabila berjaya menundukkan Jerman dan Sepanyol dalam peringkat kumpulan untuk muncul juara Kumpulan E disebabkan pendedahan yang diraih pemain di Eropah.

Malah, dalam satu temubual Pengerusi Liga Jepun, Mitsuru Murai oleh media negara terbabit pada 2021 lalu menyatakan bagi memastikan pemain di tahap tertinggi, lebih ramai pemain Jepun digalakkan berhijrah ke Eropah untuk menjadi seorang pemain yang lebih baik.

Ketika ini, Luqman satu-satunya pemain Malaysia yang beraksi di liga utama kelab Eropah bersama KV Kortrijk di Belgium sejak 2020, dengan dia mengikat kontrak panjang selama lima tahun.

Disebabkan kurang mendapat minit permainan, Luqman kini dipinjamkan ke kelab Iceland, UMF Njardvik selama semusim.

Untuk rekod, selain Luqman yang masih berada di Eropah, beberapa pemain tempatan pernah beraksi dengan kelab utama seperti tonggak kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools; Safawi Rasid (SC Portimonense pada 2020); Nazmi Faiz Mansor (Beira-Mar pada 2013); Akmal Rizal Ahmad Rakhli (RC Strasbourg dari 1999-2001) dan ramai lagi.

Begitupun untuk rekod, hampir 20 pemain muda negara kini berada di Eropah bermain dengan kelab amatur dan akademi tersohor.

Disiarkan pada: February 18, 2023 @ 2:17pm
d