Bola Sepak

Mahali masih berbisa

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Menjaringkan tiga gol daripada tujuh aksi persahabatan membuatkan semangat dan keyakinan Mahali Jasuli terus membara untuk membantu pasukan baharunya, Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Bergelar pemain senior, Mahali, 33, membuktikan kelibatnya dalam skuad Hobin Jang Hobin memberi impak positif dalam misi mereka untuk melakar pencapaian terbaik terutama pada saingan Liga Super musim ini.

"Alhamdulillah, dapat jaringkan gol dalam aksi persahabatan dan ia suatu motivasi yang baik buat diri saya, tapi lebih penting adalah membina kekuatan dan kemantapan pasukan bagi menghadapi kempen musim ini.

"Sasaran utama saya untuk bantu pasukan berdepan cabaran Liga M musim ini dengan pencapaian lebih baik dan bukan kejayaan peribadi yang saya kejarkan.

"Menerusi persiapan rapi ini dan keputusan positif dicapai dalam perlawanan persahabatan, akan dapat menambah lagi keyakinan diri saya serta rakan sepasukan untuk memastikan pencapaian terbaik dapat dicapai musim ini," katanya di sini, hari ini.

Mahali yang musim lalu beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City FC, juga pernah menyarung jersi Selangor FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC.

Menurut bekas pemain kebangsaan ini, dia akan menggunakan segala pengalaman dimilikinya melalui pembabitan dalam liga tempatan lebih 10 tahun untuk membantu Negeri Sembilan mencipta kejayaan diidamkan oleh pengurusan kelab serta peminat setia.

Katanya, walaupun skuad kendalian K Devan kali ini hanya menggunakan tiga pemain import berbanding lima pada musim lalu, namun dia yakin tiga pemain terbabit akan dapat memberikan sumbangan terbaik dalam merealisasikan kejayaan pasukan.

Negeri Sembilan mengikat tiga pemain import iaitu pemain Republik Chad, Ezechiel Ndouasel, 34, dan Levy Clemen Madinda dari Gabon, 30, serta pemain musim lalu, Herold Mark Goulon, 34, yang dikekalkan.

Disiarkan pada: February 18, 2023 @ 10:14pm
d