Bola Sepak

Orozco nadi 'enjin' Selangor FC

Oleh Firdaus Hashim

Damansara: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe menaruh kepercayaan besar di bahu tonggak import baharu dari Venezuela, Yohandry Orozco dalam menjelmakan kreativiti bahagian tengah pasukan itu.

Jelas Cheng Hoe, Orozco mampu membina serangan dan menggerakkan 'enjin' pasukan selain mencipta peluang buat penyerang yang diketuai bekas penjaring terbanyak Liga Colombia, Ayron del Valle.

"Yohandry Orozco seorang 'playmaker' yang mempunyai kelebihan menggelecek serta mampu mencipta 'assist' dan dalam 'set pieces'.

"Saya harapkan dia akan dapat menstabilkan jentera serangan pasukan untuk mendapatkan lebih jaringan gol dengan kreativitinya," kata bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu.

Cheng Hoe ditemui pada Majlis Jom Jumpa Pasukan Utama Selangor FC yang turut memperkenalkan jersi 'away' di mana Pengerusi Selangor FC, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga hadir bagi menghangatkan suasana di Tropicana Garden Mall di sini, hari ini.

Selain sesi mesra peminat dan pemain Red Giants, beberapa aktiviti lain turut diatur antaranya jualan jersi, gerai penaja pasukan, perlawanan 3vs3, permainan E-sports dan pelbagai lagi.

Pengalaman Orozco yang pernah beraksi di saingan tertinggi benua Amerika Selatan di Copa Amerika bakal menjadi aset penting buat skuad Red Giants musim ini.

Dia yang menghimpunkan 25 penampilan dengan pasukan kebangsaan Venezuela dijangka mampu membina gandingan ampuh bersama Ayron yang cukup memahami budaya dan gaya permainan dari benua yang sama itu.

Disiarkan pada: February 18, 2023 @ 10:20pm
d