Bola Sepak

VAR digunakan hujung tahun ini

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yakin video bantuan pengadil (VAR) akan dapat digunakan selewatnya hujung tahun ini sebelum berakhirnya Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, setakat ini persediaan ke arah VAR sudah mencapai lebih 50 peratus dan tahap kesediaan itu akan meningkat.

"Perbincangan lebih lanjut sudah dilakukan, di sini saya boleh katakan kita sudah lebih daripada 50 peratus perancangan.

"Lebih daripada itu patut menjawabnya adalah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana FAM adalah pengendali dan pengurus kepada aktiviti kepengadilan.

"Saya boleh katakan saya amat gembira dengan perkembangan yang kita boleh laksanakan ini. Kita harap sebelum hujung tahun kita dapat mencuba," katanya.

Ujarnya lagi, tahap kecekapan pengadil dalam menggunakan VAR juga sedang giat diusahakan dengan pegawai-pegawai terbabit sudah dihantar untuk dilatih.

"Dan juga pegawai pengadil yang sudah berkelayakan untuk mengendalikan VAR sebab sistemnya adalah sistem yang boleh dikendalikan cepat, tetapi pengajaran atau kursus kepada pengadil-pengadil VAR adalah memakan masa yang lama.

"Daripada percaturan dalam FAM dan MFL dalam hujung tahun ini, di mana ia memerlukan masa enam bulan untuk latihan saja itu selain, daripada itu implimentasi VAR di venue-venue juga," katanya.

Saingan Liga M dijangka menggunakan VAR pada saingan final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.

Sebelum ini, FAM dilaporkan bersetuju untuk menggunakan teknologi VAR pada kempen Liga M musim ini sejajar dengan galakan daripada Fifa yang mahu VAR digunakan dalam saingan liga domestik masing-masing.

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 1:38pm
d