Bola Sepak

Aiman Afif enggan sia-siakan peluang

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pemain muda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aiman Afif berharap musim 2023 adalah peluang terbaiknya untuk mempertingkatkan lagi kemampuan bersama pasukan yang akan memulakan aksi Liga Super 25 Februari ini.

Menurut pemain yang turut membarisi skuad Harimau Muda dalam saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) tahun lalu itu, dia cukup teruja dan tidak sabar memulakan aksi.

"Di bawah kendalian ketua jurulatih Nafuzi Zain pada musim ini melihatkan kelainan dan semangat yang cukup tinggi dipamerkan dikalangan semua pemain.

"Saya mahu pastikan setiap ruang dan peluang yang diberikan kepada saya pada musim ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu pasukan untuk lebih berjaya berbanding musim lalu.

"Saya sentiasa percaya dengan kesungguhan rakan sepasukan yang sedang bekerja keras memantapkan pasukan pada masa ini," katanya.

Aiman berkata selepas melalui beberapa aksi pramusim di dalam dan luar negara termasuk empat perlawanan berkelas antarabangsa di Antalya Turkiye yang tamat minggu lalu, pasukan dapat membina persefahaman yang baik.

"Saya dapat rasakan keserasian yang dilalui pasukan terus meningkat dan kami begitu bersemangat," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 4:43pm
d