Bola Sepak

Bisa Rashford ditagih Man United

Oleh AFP

Manchester: Manchester United semakin hebat dengan penampilan cemerlang Marcus Rashford sekali gus menyaksikan anak buah Erik ten Hag terus berada di landasan tepat memburu empat trofi.

The Red Devils boleh menamatkan penantian selama enam tahun tanpa sebarang kejuaraan apabila mereka menentang Newcastle dalam perlawanan akhir Piala Liga, awal pagi Isnin depan.

Bagaimanapun mereka perlu menghadapi Barcelona pada aksi Liga Europa awal pagi Jumaat ini.

Perlawanan pertama di Camp Nou menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan Rashford mengekalkan momentum cemerlangnya di Liga Perdana Inggeris ke pentas Eropah.

Dua lagi gol ketika kemenangan 3-0 ke atas Leicester, Ahad lalu menjadikan jumlah jaringan Rashford untuk musim ini adalah 24 gol sekali gus pencapaian terbaik sepanjang kariernya.

Aksi cemerlangnya selepas Piala Dunia adalah sangat luar biasa.

Tiada pemain dalam lima liga utama Eropah terbabit dengan 20 jaringan dengan 16 gol menjadi koleksi peribadinya manakala empat lagi adalah bantuan gol.

"Saya tidak fikir untuk mempertahankan rentak permainan. Saya sentiasa berusaha untuk memberi saingan dan memperbaiki segala kekurangan," kata Rashford.

Sementara itu, Ten Hag berharap barisan pemainnya dapat mempamerkan aksi paling terbaik apabila bertemu Barcelona di Old Trafford, Jumaat ini.

"Ia adalah perlawanan yang penting. Pastikan anda semua berada di sana. Kita akan cuba tewaskan Barcelona bersama-sama," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 10:42am
d