Bola Sepak

'Kami bukan kelab jual baju' - Tunku Ismail

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim enggan memikirkan sama ada corak baju pasukan Harimau Selatan musim ini cantik atau tidak.

Sebaliknya Tunku Ismail menegaskan apa yang lebih penting buat pasukannya adalah untuk mencipta pelbagai kejayaan memandangkan pencapaian pasukan menjadi antara kayu pengukur untuk menilai sesebuah pasukan itu berjaya atau sebaliknya.

Tambahnya, JDT juga sebelum ini sudahpun menempa pelbagai kejayaan sekalipun menyarung jersi yang dianggap 'biasa biasa' sahaja.

"Kami di sini bukan nak jual baju tetapi untuk kejayaan pada setiap aspek, (ini) bermakna ada infrastruktur sukan tercanggih, teknologi dan juga kejayaan dalam padang, dalam setiap pertandingan, pencapaian dan rekod.

"(Itu) bagi saya adalah penilaian (sama ada) kelab itu berjaya atau tidak, bukan setakat jual baju. Baju cantik, baju tak cantik, bagi saya belakang kira. Kalau kita tengok, 2016, 2017, 2018, kit JDT pun biasa.

"Tetapi itu tak penting kerana kami bukan kelab jual baju. Kami adalah kelab yang cuba berjaya dalam setiap aspek nilai komersial, infrastruktur canggih dan kejayaan dalam padang," kata Tunku Ismail menerusi klip video di Johor Southern Tigers, kelmarin.

Sebelum ini, juara Liga Super sembilan kali berturut turut itu melancarkan 'baju perang' mereka bagi mengharungi musim 2023 yang menyaksikan jersi tuan rumah masih mengekalkan identiti bendera Johor iaitu merah biru dengan menggunakan corak 'camouflage' dan berkolar.

Bagi jersi pelawat pula, JDT mengekalkan warna putih sebagai warna utama selain terdapat adunan kombinasi jalur merah di bahagian lengan dan biru di bahagian belakang jersi.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 1:49pm
d