Bola Sepak

Sherman, Silva sandaran robek gawang lawan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Dua penyerang import, Kpah Sherman dan Lucas Silva menjadi taruhan utama di bahagian serangan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, pengalaman dimiliki dua penyerang, masing-masing dari Liberia dan Brazil itu membantu skuad Tok Gajah beroleh kejayaan.

"Persefahaman dan kemantapan Sherman dan Silva mudah-mudahan dapat membentuk kombinasi terbaik buat pasukan di bahagian serangan

"Walaupun belum mencapai 100 peratus, pengalaman mereka membantu termasuk kerjasama daripada rakan sepasukan," katanya.

Berdasarkan rekod, sejak beraksi di Liga M bermula 2017, penyerang dari Liberia itu membuktikan dirinya antara penyerang berkualiti apabila meledak keseluruhan 72 gol bersama MIFA, PKNS, Kedah dan Terengganu FC.

Bagi Silva pula, sebanyak 11 gol yang dijaringkan dalam 15 penampilan dalam saingan Liga M musim lalu bersama Penang FC diyakini memberi kelebihan kepada skuad Tok Gajah.

Dalam perkembangan bakitan, Fandi berkata, masalah kecederaan sedikit menjejaskan persediaan skuad itu menjelang aksi pembuka tirai Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC(NSFC), Ahad ini.

Katanya, setakat ini, kecederaan itu membabitkan tiga pemain yang bermain di posisi tengah.

"Namun, saya harap masalah ini (kecederaan) dapat diatasi untuk memastikan Sri Pahang pada prestasi terbaik pada perlawanan pertama nanti," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 10:01pm
d