Bola Sepak

Kami bukan robot - Van Dijk

Oleh Agensi

London: Virgil van Dijk mengakui Liverpool perlu dihukum atas kesilapan mereka berikutan kekalahan kepada Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara dan berkata mereka bukanlah "robot".

Liverpool mendahului dua gol di Anfield namun akhirnya tewas 5-2 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir menentang penyandang juara itu.

Di tengah-tengah musim yang sukar untuk pasukan Jurgen Klopp, mereka gagal untuk membalas dendam kekalahan mereka tahun lalu di final yang berakhir 0-1 kepada Los Blancos di Paris.

Van Dijk tidak mempertikaikan satu lagi kejatuhan prestasi namun pemain pertahanan tengah itu menegaskan kesilapan boleh dijangka kerana pemain hanyalah manusia.

"Di seluruh saingan Liga Juara-Juara terdapat pemain berkualiti dari setiap pasukan.

"Mereka boleh menghukum anda dan boleh menghukum kesilapan yang anda lakukan.

"Kami bukan robot, kadang-kadang kesilapan boleh berlaku. Itulah kesnya. Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ialah belajar daripadanya dan fokus pada yang seterusnya untuk memastikan ia tidak berlaku lagi."

Selepas jaringan Darwin Nunez dan Mohamed Salah memberikan mereka kedudukan selesa dengan kelebihan dua gol selepas 15 minit permainan, Liverpool nampaknya berada di landasan untuk kejayaan Anfield.

Namun kelemahan pertahanan mereka terserlah apabila Vinicius Junior melencong dalam penyudah terbaik sebelum menghukum kesilapan Alisson untuk kembali mengimbangi perlawanan.

Eder Militao meletakkan Madrid di hadapan pada awal separuh masa kedua sebelum dua gol Karim Benzema memberi tekanan besar buat tuan rumah menjelang aksi timbal balik bulan depan.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 11:59am
d