Bola Sepak

Potter terdesak, perlu menang berdepan Spurs

Oleh AFP

London: Graham Potter akan membawa pasukannya Chelsea yang sedang bergelut ke Tottenham dan mereka kini terdesak untuk mencipta kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara Manchester City berusaha mengubah dominasi menjadi gol.

Pendahulu Arsenal berdepan Leicester, manakala Liverpool sedang berusaha untuk bangkit daripada kekalahan 2-5 di tangan Real Madrid apabila mereka bertandang ke Crystal Palace.

Manchester United yang menduduki tempat ketiga tidak beraksi kerana akan berdepan Newcastle United pada perlawanan akhir Piala Liga Ahad ini di Wembley.

Potter berada di bawah tekanan yang semakin meningkat perlu mencatatkan kemenangan selepas mengeluarkan pelaburan yang tinggi dengan Chelsea mungkin sedikit lega berdasarkan rekod mereka berdepan tetangga London, Tottenham.

Chelsea kini menyasarkan untuk melebarkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana menentang Spurs kepada sembilan perlawanan dan buat kali keempat berturut-turut dalam liga antara kedua-dua kelab.

Spurs yang bimbingan Antonio Conte berada di tangga keempat, 11 mata di hadapan Chelsea, yang hanya memenangi dua daripada 14 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

Walaupun mengalami kesukaran pada Januari, skuad Blues tampak amat perlukan penyudah tajam apabila mereka hanya menjaringkan satu gol dalam lima aksi terakhir.

Laporan mengatakan bahawa pengurusan tertinggi di Stamford Bridge sudah bersedia memberikan bekas pengendali Brighton, Potter masa untuk menukar prestasi buruk mereka dan pengurus itu sendiri meminta penyokong bersabar dengan pemain baharu ditandatanganinya selepas kekalahan di laman sendiri minggu lalu berdepan Southampton.

Namun kekalahan kepada Tottenham pasti akan menambah lebih tekanan buat pengendali dari England itu dengan sebahagian penyokong Chelsea memintanya dipecat.

Sementara itu kejayaan City muncul juara EPL sebanyak empat kali sebelum ini banyak dibina menerusi kejayaan berturut-turut dalam kempen liga mereka.

Bagaimanapun, juara bertahan itu masih menanti bagi mendapatkan prestasi terbaik mereka musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola tampak sudah menukar arus dalam pemburuan gelaran apabila menewaskan Arsenal di Emirates awal bulan ini untuk kembali menerajui liga.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 11:38am
d