Bola Sepak

Antony mahu kembalikan maruah Man United

Oleh Reuters

London: Memenangi final Piala Liga pada awal pagi Isnin akan menjadi langkah pertama dalam meletakkan Manchester United kembali ke kedudukan asalnya, kata pemain sayap Brazil, Antony menjelang pertembungan dengan Newcastle United di Wembley.

Skuad Erik ten Hag yang sedang berada pada prestasi terbaik akan diletakkan selaku pasukan pilihan untuk pertemuan dengan Newcastle yang turut semakin meningkat dan sudah sekian lama tidak memenangi trofi.

Kali terakhir Newcastle menjulang trofi adalah pada 1955 manaka United pula pada 2017, iaitu ketika memenangi Piala Liga di bawah bimbingan Jose Mourinho.

"Apabila saya hadir ke sini, saya dapat rasakan bahawa Manchester United adalah sebuah kelab besar dan kami akan meletakkan kelab ini kembali ke tempat asalnya iaitu berjuang untuk memenangi trofi.

"Kami tahu bahawa ia adalah tugas yang sukar, tetapi kami sedar betapa besarnya kami sebagai sebuah kelab dan betapa bagusnya kami.

"Ia akan menjadi impian menjadi kenyataan pada musim pertama saya, jika kami dapat memenangi trofi. Saya harap dapat mengekalkan prestasi terbaik agar dapat meraih lebih banyak kejayaan lagi," katanya kepada laman web kelab itu.

United berada di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mereka mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa selepas menyingkirkan Barcelona.

Antony menjaringkan gol dalam perlawanan itu dan menjadi watak penting di barisan jentera serangan United.

"Saya sangat teruja. Ia akan menjadi penampilan pertama saya (di Wembley). Saya tidak sabar untuk turun beraksi," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2023 @ 9:34pm
d