Bola Sepak

Gergasi Merah menang tipis

Oleh Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Tandukan 'emas' Yazan Al-Arab memastikan Selangor FC memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan apabila menang 1-0 ke atas Kelantan United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, malam tadi.

Kemenangan tipis itu sudah cukup buat skuad Red Giants membuka akaun liga domestik dengan tiga mata penuh.

Dalam aksi itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe menguasai segenap aksi dengan beberapa siri serangan namun benteng pertahanan lawan yang di bimbing Tomas Trucha ampuh bertahan.

Begitupun gol yang dicari tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-40 apabila sepakan sudut yang diambil Faisal Halim tepat menuju kepala Yazan untuk dia menanduk mudah menjaringkan gol pertama.

Jaringan terbabit nyata menyemarakkan semangat pemain Selangor yang terus memburu gol tambahan namun gagal menemui sasaran.

Anak buah Cheng Hoe terus menguasai aksi pada babak kedua dengan Kelantan United sesekali membuat serangan balas ke kubu tuan rumah.

Kedudukan tipis itu kekal hingga wisel penamat buat memberi keceriaan kepada penyokong Merah Kuning memungut tiga mata penuh dalam aksi itu.

Selepas ini kedua-dua pasukan dijadual terbang ke Borneo dengan Kelantan United menentang Sabah FC Rabu ini, manakala Selangor FC pula bertemu Kuching City FC, Khamis ini.

Disiarkan pada: February 26, 2023 @ 10:39pm
d