Bola Sepak

Ejen Korea pantau pemain tempatan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pemain berbakat tempatan berpeluang melebarkan sayap ke Liga Korea Selatan atau lebih dikenali dengan K-League apabila beberapa ejen dari negara terbabit sedia menyediakan laluan buat anak tempatan beraksi di negara yang terkenal dengan sukan bola sepak itu.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency, Myeongho Jeong apabila mengakui pemain tempatan juga mempunyai potensi untuk 'dieksport' ke K-League.

Dia yang pertama menjejakkan kaki ke Malaysia awal bulan ini menjelaskan, tidak mustahil buat mana-mana pemain negara untuk melebarkan sayap di sana memandangkan setiap divisyen di K-League cukup kompetitif sama ada daripada liga atasan hingga keempat.

"Yaa…saya berhasrat untuk membawa pemain Malaysia beraksi di K-League, di mana K-1 (divisyen 1), K-2 (divisyen 2), K-3 (divisyen 3) dan K-4 (divisyen 4) semuanya mempunyai tahap kualiti yang hampir sama.

"Saya akan memantau dan melihat pemain yang sesuai dan tidak mustahil suatu hari nanti akan ada ramai pemain Malaysia di Korea," katanya ketika ditemui Arena Metro, baru-baru ini.

Untuk rekod, ketika ini R Kogileswaran adalah satu-satunya pemain negara yang beraksi di Liga Korea bersama kelab Chungbuk Cheongju di K-2 dengan ikatan kontrak selama semusim bermula Januari lalu.

Jeong yang sudah bertahun berkecimpung sebagai ejen pemain dan dianggap antara terbaik di rantau ini, cukup terkenal di Liga Thailand apabila beliau sudah menghantar seramai 200 pemain beraksi di negara Gajah Perang itu.

Buat pertama kali musim ini, beliau sudah membawa masuk seramai 10 pemain dan jurulatih menyertai beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) seperti Kelantan FC, Perak FC, Sri Pahang dan Kelantan United.

Lantas, Jeong menyasarkan untuk memasarkan lebih ramai pemain Korea ke Liga M sekali gus membantu menaikkan tahap kualiti liga tempatan.

"Pemain Korea ramai yang mahu datang ke sini. Di Thailand saja hampir 200 pemain sudah saya bawa.

"Pada saya, pemain Korea mempunyai kepantasan yang boleh membantu pasukan dan sebenarnya permintaan untuk pemain Korea cukup tinggi terutama dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan kini Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2023 @ 5:24pm
d