Bola Sepak

Pahang Rangers terus lakar kemenangan besar

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Persembahan bersemangat dipamerkan barisan pemain Pahang Rangers FC menjadi kelebihan untuk mereka membenam KPT-PST Mustang 7-1 pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic Shah Alam, Selangor semalam.

Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas Ullastre berkata pemain turun beraksi dengan penuh keyakinan walaupun berhadapan tentangan sengit lawan pada awal babak pertama.

Katanya, rentak permainan menyerang dan bertahan yang dipamerkan berjaya menjinakan lawan yang seolah ingin bangkit ketika kedudukan terikat 1-1, namun pengalaman luas dimiliki pemain Pahang Rangers berjaya menafikan usaha pasukan tuan rumah.

"Secara keseluruhan saya memuji persembahan yang dipamerkan barisan pemain, mereka bukan sahaja berjaya mencatat kemenangan selesa tetapi turut menghasilkan jaringan yang banyak.

"Selepas menewaskan Sabah 9-1 pada perlawanan pembukaan MPFL sebelum ini, hari ini (semalam) mereka membuktikan kebolehan dengan menjinakan KPT-PST Mustang 7-1 ditempat lawan," katanya, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, rentak kemenangan diharap dapat terus dicipta oleh pasukan Pahang Rangers pada perlawanan seterusnya selepas ini apabila berhadapan Kedah pada 5 Mac di Stadium Tertutup SUKPA, di sini.

Disiarkan pada: February 27, 2023 @ 10:14pm
d