Bola Sepak

SPFM bukan lagi lubuk tiga mata

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: Skuad Projek FAM-MSN (SPFM) melaungkan amaran mereka bukan lagi lubuk tiga mata buat pasukan lain dalam saingan Liga Simpanan yang bakal membuka tirai Khamis ini.

Pengendali SPFM, Noor Zaidi Rohmat berkata, walaupun pasukannya dibarisi 70 peratus muka baharu, mereka sudah bersedia 'meletup' dengan mempamerkan aksi memukau sepanjang saingan Liga Simpanan kelak.

Beliau berkata, barisan anak buahnya sudah melakukan persiapan rapi termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di utara tanah air bagi mencari keserasian dalam kalangan pemain muda itu.

"Selepas dilantik sebagai jurulatih SPFM, perkara paling penting adalah meneruskan kesinambungan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) membabitkan pasukan musim 2023.

"Mereka perlu bersaing dengan lawan lebih senior dan pemain import, sekali gus bersedia mengharungi perlawanan lebih mencabar.

"Secara keseluruhan, perlu mempertingkatkan lagi taktikal kerana daripada segi kemampuan pula, ebenarnya mereka tiada beza dengan pemain pasukan lain," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Penaja Puma Active dan Pelancaran Jersi SPFM, di sini, hari ini.

Mengikut rekod, skuad SPFM dilihat sebagai pasukan belasahan apabila hanya mencatatkan tiga kemenangan sepanjang tempoh dua musim bersaing di Liga Premier.

Situasi itu mendapat kritikan daripada penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air yang melihat kehadiran SPFM itu tidak ubah seperti lubuk kepada pasukan lain untuk memperoleh tiga mata.

Disiarkan pada: February 28, 2023 @ 5:23pm
d