Bola Sepak

Kalah tak bagus, tapi dapat pengajaran terbaik - Ten Hag

Oleh Reuters

London: Skuad Manchester United yang kian bersemangat sudah melupakan keseronokan memenangi piala pertama dalam enam tahun, sebaliknya fokus untuk menentang West Ham pada pusingan kelima Piala FA, awal pagi Khamis.

Kelab Old Trafford itu menewaskan Newcastle United 2-0 di final Piala Liga Inggeris, awal pagi Isnin lalu, untuk menjulang trofi buat kali pertama selepas Liga Europa pada 2017.

"Sudah tentu, semalam pemain masih bersemangat dan mereka meraikan saat itu," kata pengurus, Erik ten Hag menjelang perlawanan menentang West Ham.

"Tapi semalam, kami sudah selesai dan kembali bekerja semula. Apa yang dilakukan adalah proses pemulihan dan pemain yang kurang beraksi di final menjalani sesi latihan penuh.

"Tiada yang melampau, kembali bekerja!"

Ten Hag yang menyertai United dari Ajax Amsterdam, tahun lalu, berdepan tekanan hebat apabila tewas dua perlawanan awal musim ini, tetapi pengendali dari Belanda itu berkata, kunci utama adalah tidak panik.

"Saya sedar berdasarkan pengalaman lalu apabila anda memerlukan masa untuk mendapat corak permainan diingini, sebelum anda menemui peraturan dalam prinsip diketengahkan," katanya.

"Keputusan tepat tidak menjadi pada awal musim. Saya tidak panik kerana ia adalah sebahagian daripada proses. Apabila kalah, memang tidak bagus dan anda pasti benci, tetapi anda turut mendapat pengajaran yang baik."

United sekali lagi tidak dapat menurunkan Anthony Martial yang masih cedera dan penyerang Perancis itu hanya bermain 14 kali dan menjaringkan enam gol dalam semua kejohanan musim ini.

Disiarkan pada: February 28, 2023 @ 10:34pm
d