Bola Sepak

Silva mungkin tersisih enam minggu

Oleh Agensi

London: Thiago Silva terpaksa melupakan dua perlawanan penting Chelsea selepas ini akibat kecederaan lutut malah mungkin tersisih sehingga enam minggu.

Pemain Brazil itu dikeluarkan pada babak pertama ketika tewas 0-2 di Tottenham pada Ahad lalu.

Silva menjalani pemeriksaan lanjut dan ujian imbasan semalam bagi menilai tahap kecederaan kecederaan lutut kirinya.

Chelsea dalam kenyataan berkata: "Akibat kecederaan lutut pada babak pertama ketika menentang Tottenham Hotspur, Thiago menjalani rawatan lanjut ketika kembali ke pusat latihan semalam."

"Keputusan imbasan menunjukkan koyakan pada ligamen lutut Thiago dan dia dipantau pasukan perubatan ketika proses pemulihan supaya dapat kembali secepat mungkin.

Menurut The Times, imbasan mendedahkan Silva dijangka tidak dapat beraksi untuk tempoh jangka masa pendek tetapi dia terpaksa melupakan aksi menentang Leeds dan Borussia Dortmund di Stamford Bridge minggu depan.

Bagaimanapun, The Guardian mendakwa Silva mungkin tersisih sehingga enam minggu.

Kecederaan itu meresahkan lagi pengurus Graham Potter yang dilaporkan berdepan tekanan susulan kemerosotan prestasi skuadnya.

Disiarkan pada: March 1, 2023 @ 9:11am
d