Bola Sepak

KDA FC lakar kemenangan kedua

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan momentum kemenangannya apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kemenangan dengan jaringan tunggal Fadzrul Danel pada hujung perlawanan itu disaksikan 21,700 penyokong KDA FC yang hadir memberi sokongan padu selepas mereka menumpaskan Perak FC 4-1 di Ipoh, Sabtu lalu.

KDA FC cuba mencari gol awal melalui percubaan sepakan bebas pemain tengahnya, Amirbek Juraboev pada minit ke-14, namun percubaan itu tersasar ke atas palang gol.

Kebuntuan gol terus berlarutan hingga hujung babak pertama meskipun dua percubaan dari luar kotak penalti dilakukan pemain TFC, Sony Norde pada minit ke-35 dan 45.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol dan kemasukan Jonathan Balotelli dan Fadzrul Danel pada babak kedua dilihat kembali menghidupkan jentera serangan KDA FC.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-90, Fadzrul menjaringkan gol tunggal KDA FC selepas pemain tengah TFC melakukan hantaran ke belakang yang gagal diselamatkan penjaga golnya, Suhaimi Husin.

Disiarkan pada: March 1, 2023 @ 11:26pm
d