Bola Sepak

Arsenal bedil Everton

Oleh AFP

London: Gabriel Martinelli cemerlang membantu Arsenal menjarakkan kedudukan kepada lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 4-0 ke atas Everton awal pagi tadi.

Bukayo Saka memecah kebuntuan pada lewat babak pertama sebelum penyerang Brazil, Martinelli menggandakan jaringan Arsenal di Stadium Emirates.

Martin Odegaard meledak gol ketiga dan Martinelli melengkapkan kemenangan terbesar Arsenal sejak Oktober lalu.

Ia kemenangan penting kepada skuad Mikel Arteta yang diekori rapat pasukan di tangga kedua Manchester City ketika persaingan memburu gelaran liga semakin sengit.

Dengan baki 13 perlawanan, kemenangan itu juga meletakkan Arsenal di 'petak hadapan'untuk menjuarai gelaran liga pertama sejak skuad 'Invincibles' Arsene Wenger' pada 2003-04.

"Sebaik kami mendapat gol pertama, perlawanan lebih terbuka. Kami perlukan detik magis dan Bukayo menghasilkannya. Selepas itu kami terus menyerlah dan berhak meraih kemenangan. Kami akan meneruskannya," kata Arteta.

"Saya gembira melihat pemain beraksi seperti kami mahukan. Liga adalah cerita berbeza. Saya sangat gembira dengan kematangan dan kualiti kami tunjukkan."

Sementara itu, Sean Dyche memulakan tugasnya di Everton dengan kemenangan mengejut 1-0 ke atas Arsenal pada 4 Februari di Goodison Park.

Tetapi Everton tewas tiga kali berturut-turut dan hanya sekali menang sejak itu meletakkan mereka di tangga ketiga terbawah carta liga dan kekal pasukan paling kurang memperoleh gol apabila hanya meledak 17 jaringan.

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 9:05am
d