Bola Sepak

Sabah FC setanding JDT

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha menyifatkan Sabah FC kini berada pada tahap yang setanding dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Beliau berkata, hanya Sabah FC dapat menyaingi skuad Harimau Selatan itu dan pasti ramai mahu melihat pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super.

"Bagi saya hanya Sabah FC mampu bersaing dengan JDT. Ia sudah berada pada tahap itu dan sudah tentu pertemuan JDT dengan Sabah FC nanti sesuatu yang menarik.

"Berbanding Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain saya fikir Sabah sekarang pada tahap teratas (top level)," katanya pada sidang media selepas aksi kedua Liga Super Sabah FC menentang Kelantan United FC di Stadium Likas, di sini, semalam.

Skuad Sang Badak menewaskan Kelantan United 3-1 hasil jaringan Darren Lok, Park Taesu dan Telmo Castanheira masing-masing pada minit ke-22, 26 dan 46, manakala Indra Putra menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan pelawat pada minit ke-92.

Mengulas kekalahan pasukannya, Trucha berkata beliau tidak berpuas hati selepas sekali lagi gagal mencapai sasaran mengutip mata setelah tewas tipis 1-0 di tangan Selangor pada Ahad lalu.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya apabila gawang Kelantan United dibolosi sejurus perlawanan babak kedua bermula dan mengakui masih banyak perlu dibaiki untuk pasukannya meneruskan aksi Liga Super.

Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee masih belum berpuas hati dengan kelekaan anak buahnya yang menyebabkan gawang pasukan dibolosi pada masa kecederaan selepas mengekalkan tiga jaringan tanpa balas sepanjang 90 minit.

Sabah FC akan berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 6 Mac ini.

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 10:42am
d