Bola Sepak

Fifa kena kritik lantik model seksi jadi duta

Oleh Agensi

London: Keputusan Fifa melantik model terkenal Adriana Lima sebagai duta pertama mereka menjelang Piala Dunia Wanita 2023 mengundang kritikan apabila dianggap pelik dan tidak sesuai, menurut bekas pentadbir bola sepak, pemain dan peminat di media sosial.

Presiden Fifa Gianni Infantino berkata, Adriana bekas model Victoria Secret mampu berperanan sebagai penghubung berkesan di antara badan dunia itu dengan peminat seluruh dunia.

Adriana menganggap dirinya peminat bola sepak tetapi mengundang persoalan selepas setakat ini tidak terbabit secara rasmi dengan sukan itu.

"Serius ke Fifa? Adakah duta seperti ini kami perlukan untuk Piala Dunia?" menurut bekas pemain antarabangsa Australia, Moya Dodd di Twitter yang turut menggunakan hashtag "tidak sesuai" dalam ciapannya disusuli beberapa soalan untuk model terkenal itu.

Sukan Wanita Australia (SWA) yang terbabit dengan kempen kesaksamaan antara jantina dalam sukan berkata, pelantikan Adriana sangat tidak sesuai dan Fifa sepatutnya memilih atlet yang terbabit dengan sukan itu.

"Ia sama sekali berbeza dengan bola sepak lelaki," kata Presiden SWA, Gen Dohrmann.

"Anda boleh lihat Cristiano Ronaldo sebagai budak poster untuk Piala Dunia, jadi mengapa kami perlukan seorang model dan tidak memilih pemain seperti Meg Rapinoe, Sam Kerr atau sesiapa sahaja yang terkenal di peringkat antarabangsa?

"Itulah yang sepatutnya menjadi model untuk kempen ini."

Benita Mersiades, bekas ketua perhubungan korporat di Football Australia yang terbabit dengan proses bidaan Piala Dunia 2018/2022 berkata, keputusan itu memperlihatkan pendirian Fifa.

"Pelantikan Adriana sebagai duta global mereka menunjukkan betapa Fifa kurang mengambil berat hubungan dengan penyokong bola sepak dan betapa Fifa tidak berubah," kata Benita.

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 12:31pm
d