Bola Sepak

Selangor FC belasah Kuching City 5-0

Oleh Hamdan Saaid

Kuching: Selangor FC berpesta gol apabila membelasah Kuching City 5-0, sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Super di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Anak buah Tan Cheng Hoe kelihatan terlalu gagah buat pasukan tuan rumah yang beraksi dalam Liga Perdana musim lalu itu, tetapi mempamerkan peningkatan di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Dua gol menerusi pemain tengah import dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan masing-masing satu sumbangan penyerang Ayron Del Valle, Brendan Gan dan Danial Asri menyaksikan Selangor meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan dengan benteng pertahanan kukuh tidak dibolosi dalam tempoh 180 minit setakat ini.

Al-Rawabdeh membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila dia mudah menampan masuk hantaran leret Hein Htet Aung dari sebelah kanan.

Del Valle tidak menunggu lama untuk mencetak gol sulungnya bersama Gergasi Merah apabila menambah gol kedua pada minit kesembilan.

Al-Rawabdeh sekali lagi mencuri tumpuan apabila melebarkan jaringan tiga minit selepas rehat apabila rembatan leretnya hasil lorongan Faisal Halim menggegar jaring sebelah kiri pintu gol Kuching.

Jurang permainan antara kedua-dua pasukan terserlah dengan kapten Selangor, Brendan menokok gol keempat pada minit ke-65.

Pada minit ke-73, anak buah Cheng Hoe bergembira lagi apabila penyerang gantian Danial Asri melengkapkan kemenangan besar di gelanggang lawan dengan gol kelima.

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 10:46pm
d