Bola Sepak

Messi terima nota ugutan

Oleh Reuters

Buenos Aires: Dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan rambang ke pasaraya milik keluarga Antonela Roccuzzo, isteri Lionel Messi di Rosario semalam, menurut laporan media tempatan.

Mesej ugutan bertulisan tangan untuk kapten Argentina dan pemenang tujuh kali Pemain Terbaik Dunia berusia 35 tahun itu ditinggalkan di pintu masuk pasaraya terbabit.

"Messi, kami sedang tunggu anda. (Pablo) Javkin (Datuk Bandar) juga seorang pengedar dadah, dia tidak akan melindungi anda," menurut mesej itu.

Javkin menyalahkan pihak keselamatan yang didakwa gagal membanteras jenayah terancang yang semakin berleluasa di bandar itu sejak beberapa tahun lalu.

"Saya bercakap dengan (Roccuzzos) dan mereka berasa bimbang," kata Javkin kepada wartawan di luar pasaraya terbabit.

Imej televisyen menunjukkan kelongsong peluru di kawasan pejalan kaki di hadapan premis kepunyaan keluarga Roccuzzo.

Bahagian hadapan pasaraya terkena 14 butir peluru dan premis ditutup hari ini untuk siasatan lanjut.

Menteri Keselamatan Santa Fe, Claudio Brilloni pula berkata pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti motif serangan.

Messi dijangka pulang ke Argentina bulan ini untuk menyertai skuad kebangsaan yang akan beraksi dua perlawanan persahabatan menentang Panama di Buenos Aires pada 23 Mac dan menentang Curacao lima hari kemudian di Santiago del Estero.

Disiarkan pada: March 3, 2023 @ 9:14am
d