Bola Sepak

Jaringan Reus, Can bawa Dortmund ke puncak liga

Oleh AFP

Berlin: Jaringan di separuh masa pertama daripada Marco Reus dan Emre Can membolehkan Borussia Dortmund meraih tiga mata untuk berada di tangga teratas Bundesliga selepas menang 2-1 ke atas RB Leipzig.

Ketua pasukan Dortmund, Reus berjaya mendapatkan penalti dan menyempurnakannya pada minit ke-21 sebelum Can meledak gol kedua ketika aksi separuh masa pertama berbaki lima minit hasil rembatan jauh luar kotak penalti.

Kemenangan itu adalah yang ke-10 daripada 10 aksi buat Dortmund pada 2023 dan menukar kembali tekanan terhadap pendahulu sebelumnya, Bayern Munich, yang akan ke Stuttgart hari ini.

Selepas perlawanan itu, Reus memberitahu DAZN "kami perlu bertahan pada penghujung" tapi berkata "gol kami mengambil kembali kedudukan teratas dan kami berjaya melakukannya."

Jurulatih Dortmund, Edin Terzic yang 'sangat berpuas hati' berkata pasukannya 'bermain perlawanan yang sangat bagus pada babak pertama dan pada babak kedua bertahan dengan sabar.'

"Babak kedua tentu sahaja kami kecewa tetapi anda boleh lihat bukan mudah untuk menjaringkan gol berdepan kami" katanya.

"Hari ini dua pasukan dengan prestasi terbaik Bundesliga bermain sesama sendiri."

Bos Leipzig, Marco Rose berkata keputusan itu 'sukar untuk diterima' dan memuji persembahan berkesan Dortmund.

Disiarkan pada: March 4, 2023 @ 9:11am
d