Bola Sepak

Mbappe kini penjaring terbanyak PSG

Oleh AFP

Paris: Kylian Mbappe muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Paris Saint-Germain (PSG) dengan gol peribadi ke-201 untuk kelab itu ketika pendahulu Ligue 1 itu melakar kemenangan 4-2 ke atas Nantes, awal pagi tadi.

Bintang Perancis itu sudah menyamai rekod Edinson Cavani sebelum ini iaitu 200 gol apabila meledak dua jaringan ketika meraih kemenangan minggu lalu di Marseille.

Dia terus memperbaiki rekod itu dengan menjaringkan gol pada masa kecederaan di Parc des Princes.

PSG sebelum itu di depan dua gol menerusi Lionel Messi dan gol sendiri Jaouen Hadjam sebelum Nantes bangkit untuk menyamakan kedudukan.

Ludovic Blas merapatkan jurang untuk pasukan pelawat dan Ignatius Ganago menyamakan kedudukan, tetapi Mbappe kembali meletakkan PSG di hadapan.

Mbappe mencapai rekod itu dalam hanya 247 penampilan sejak menandatangani kontrak dari Monaco pada usia 18 tahun pada 2017.

Bintang Uruguay, Cavani memerlukan 298 perlawanan, dan tujuh tahun, untuk mencipta rekod pada 2020.

"Saya bermain untuk mencipta sejarah dan saya selalu berkata mahu mencipta sejarah di Perancis, ibu negara saya dan berjaya melakukannya. Ia hebat, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.

"Bagi saya, sebagai warga asal Paris, ia amat istimewa. Jika ada yang berkata saya akan menjaringkan gol untuk memperbaharui rekod ketika memakai lilitan kapten, saya sendiri tidak akan percaya," kata Mbappe kepada stesen penyiar Canal Plus.

Disiarkan pada: March 5, 2023 @ 9:56am
d