Bola Sepak

KDA FC digesa segera baiki kelemahan

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan mengambil langkah segera untuk bangkit semula selepas kekalahan mengejut 0-1 kepada PDRM FC pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu.

Pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, penilaian secara menyeluruh mengenai prestasi Sang Kenari perlu dilakukan segera bagi memperbaiki setiap aspek kelemahan yang ada untuk kembali bangkit pada aksi seterusnya.

"Kekalahan Sabtu lalu kepada PDRM di Stadium Darul Aman adalah sesuatu yang perit kepada semua pihak khususnya kepada penyokong dan sepatutnya Sang Kenari lebih cepat dan bijak dan selesa di atas padang untuk menjaringkan gol di separuh masa pertama.

"Tindakan perlu dilakukan dan perlu dilihat perubahannya dalam perlawanan seterusnya melibatkan komunikasi, bermain secara satu unit, kekuatan minda atau emosi bagi menyerap sebarang tekanan dan provokasi, ketergesaan (urgency) dalam mutu permainan serta banyak lagi.

"Penilaian secara menyeluruh dan tegas perlu dilakukan dengan secepat dan setulus mungkin, katanya.

Menyentuh mengenai layangan kad merah yang diterima Ketua Pasukan Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, Mohd Daud menganggapnya sebagai satu kenangan yang sukar dilupakan bukan sahaja dirinya malah seluruh penyokong Sang Kenari.

"Adapun insiden dan isu kad merah kepada kapten KDA FC dan jaringan gol oleh PDRM dari sepakan percuma dengan bola yang masih bergerak, kita semua boleh membuat interpretasi masing-masing.

"Rakaman dua insiden ini akan menjadi simpanan arkib dalam lipatan sejarah bola sepak negara selama-lamanya," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2023 @ 3:14pm
d