Bola Sepak

Fazrul peledak berbisa Kelantan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain sayap Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman menjadi antara pemain paling gembira di sebalik kemenangan sulung The Red Warriors musim ini di pentas Liga Super apabila menumbangkan Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Ahad lalu.

Bukan sahaja bertindak sebagai salah seorang penjaring tetapi paling penting berjaya meledak gol pertama bersama Kelantan selepas gagal melakukannya pada musim lalu.

Fazrul berkata, jaringan itu nyata memberikan kepuasan berganda lantas menyuntik keyakinan untuk beraksi lebih konsisten.

"Rasa sangat teruja kerana akhirnya saya mampu menjaringkan gol setelah musim lalu tidak ada jaringan dengan Kelantan, gol ini sangat penting buat saya.

"Saya ada letakkan sasaran mahu mendapatkan lebih banyak gol lagi musim ini selain membantu pasukan berada di kedudukan yang terbaik di Liga Super.

"Mengenai gol semalam, memang rezeki juga kerana mampu melepaskan teknik rembatan sebegitu dan tidak jangka kerana pernah cuba semasa sesi latihan namun kurang menjadi," katanya.

Selain jaringan Fazrul pada minit ke-37, Kelantan sebelum itu berada di hadapan pada minit ke-23 menerusi Ismahil Akinade yang menanduk cantik hasil hantaran Ghaffar Rahman.

Kemenangan Kelantan juga menamatkan pemburuan mata sulung selepas dua perlawanan apabila tewas sebelum ini kepada Kuching City dan Sri Pahang.

Fazrul memulakan karier remajanya di PKNS dan berhijrah ke Kelantan United pada musim 2020 dan 2021, sebelum menyertai Kelantan FC pada musim lalu.

Menurut pemain yang berasal dari Tanah Merah ini, dia semakin serasi dengan rakan sepasukan dan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik.

"Tidak dinafikan kami sedikit bergelut untuk dua perlawanan pertama kerana jurulatih ada mencuba formasi berbeza untuk melihat corak paling sesuai dengan pasukan," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2023 @ 4:17pm
d