Bola Sepak

KL City 'tagih ihsan' cari tempat latihan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Apa dah jadi dengan naib juara Piala AFC musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila tular di laman sosial gambar tempat latihan yang agak daif.

Menerusi satu perkongsian gambar oleh media tempatan, juara Piala Malaysia 2021 itu terpaksa meletakkan katil urut untuk proses pemulihan kecergasan di tepi tiang lampu di padang awam Taman Pudu Hulu, di sini.

Situasi itu cukup menyedihkan buat sebuah kelab profesional yang hampir mencipta kejutan di peringkat Asia apabila mara ke pentas final Piala AFC sebelum tumbang 0-3 di tangan Al Seeb dari Oman.

Arena Metro berjaya mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard yang akui situasi terbabit tidak dapat dielakkan kerana skuad The City Boys sememangnya tidak mempunyai pusat latihan sendiri.

"Saya dah usaha sebaik mungkin mencari di mana-mana sahaja tempat latihan sesuai buat sebuah pasukan profesional yang dah wujud sejak 1974 lagi.

"Pada Disember 2020 ketika saya datang ke sini, kami hanya ada stadium dan padang latihan Taman Pudu Hulu itu saja.

"Sepanjang 2021, kami dapat berlatih di stadium tetapi sepanjang 2022 kami tak dapat berlatih di stadium dan terpaksa meneruskan latihan di Taman Pudu Hulu saja…tahun ini juga sama.

"Saya dah pergi ke merata-rata mencari padang seperti di PKNS dan padang-padang lain semuanya tak dapat untuk memberi kami menggunakan untuk tempoh yang panjang.

"Jadi apa yang kami mampu buat?. Kami sebuah pasukan yang penuh dengan sejarah dan hampir memenangi Piala AFC, tapi ini saja yang kami ada," katanya.

Untuk rekod, sejak dua musim lalu, prestasi anak buah Bojan Hodak cukup cemerlang termasuk menjuarai Piala Malaysia pada 2021 dan mara ke final Piala AFC musim lalu.

Lantas dengan pencapaian itu, ia menyaksikan pasukan itu kini berjaya menghimpunkan ramai pemain berkualiti musim ini sekali gus dianggap antara pencabar kempen kali ini.

Stanley yang juga bekas pemain KL menjelaskan, beliau mengharapkan adanya pihak yang boleh membantu pasukan untuk mendapatkan tempat latihan lebih sempurna.

"Bila pasukan masuk final ramai yang datang. Tapi bila kita perlukan bantuan, kita sukar untuk mendapatkan bantuan dan sebagainya. Saya harap ada sinar yang boleh membantu pasukan," katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2023 @ 6:00pm
d