Bola Sepak

Skuad Harimau Malaya jalani latihan minggu depan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya ternyata serius mahu memastikan kemenangan dalam genggaman mereka apabila memanggil barisan pemain untuk menjalani latihan seawal 18 Mac ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Noor Azman Rahman berkata, pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon akan mengeluarkan senarai nama dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan pemain boleh melakukan persiapan awal sebelum menyertai kem latihan pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, barisan pemain Harimau Malaya akan menjalani kem latihan sepenuhnya di kemudahan yang terdapat di kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali gus mampu memastikan mereka berada pada tahap optimum sebelum mengharungi dua perlawanan persahabatan pada penghujung bulan ini.

"Pemain akan mula menyertai latihan pada 18 Mac ini dengan mereka akan berkampung iaitu menggunakan sepenuhnya kemudahan di JDT.

"Kita mahu memastikan skuad kebangsaan meraih keputusan positif sekali gus mahu manfaat kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk pasukan dapat melakukan persiapan rapi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya akan menghadapi Turkmenistan dan Hong Kong dalam siri perlawanan antarabangsa tahap 1 bagi kalendar Mac Fifa.

Turkmenistan akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 23 Mac ini sebelum bertemu Hong Kong pada 28 Mac.

Malaysia sebelum ini menewaskan Hong Kong 2-0 dan Turkmenistan 3-1 pada 1 dan 8 Jun tahun lalu dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 dan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia pusingan ketiga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Berdasarkan ranking dunia menyaksikan Turkmenistan berada pada kedudukan ke-135 dunia dan Hong Kong (146) sekali gus memberi saingan terbaik buat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan mengharungi Piala Asia awal tahun depan.

Disiarkan pada: March 11, 2023 @ 8:23pm
d