Bola Sepak

Napoli terus gah di puncak liga

Oleh AFP

Naples: Khvicha Kvaratskhelia membantu Napoli selangkah lagi menghampiri kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh lebih tiga dekad dengan jaringan menakjubkan ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Atalanta, awal pagi tadi.

Kemenangan terbaru itu menyaksikan Napoli kini selesa dengan kelebihan 18 mata di tangga teratas liga.

Kvaratskhelia meledak gol pembukaan pada minit ke-60 selepas melakukan gerakan cantik memperdaya pertahanan Atalanta.

Jaringan liga ke-11 peribadinya itu membolehkan Napoli melebarkan kedudukan mereka di hadapan Inter Milan yang tewas mengejut 1-2 di Spezia.

Amir Rrahmani memastikan Napoli meraih tiga mata penuh dengan meledak gol kedua 13 minit sebelum tamat perlawanan.

"Kami beraksi dengan baik walaupun mengharungi permulaan yang sukar kerana Atalanta adalah pasukan yang bagus.

"Kami berada dalam situasi di mana anda boleh melihat reaksi penyokong betapa mereka dapat merasakannya (kejuaraan liga)," kata Rrahmani kepada DAZN.

Namun Napoli sememangnya hanya menunggu masa untuk memenangi Scudetto buat kali pertama sejak 1990, iaitu ketika Diego Maradona masih beraksi.

Disiarkan pada: March 12, 2023 @ 11:15am
d