Bola Sepak

Klopp dedah punca penalti Salah 'ke langit'

Oleh Agensi

London: Jurgen Klopp berpendapat kekurangan penalti diperoleh Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini antara punca Mohamed Salah gagal menjaringkannya ketika menentang Bournemouth semalam.

The Reds ketinggalan 0-1 selepas minit ke-28 menerusi Philip Billings dan Livepool bergelut mencari gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.

Mereka mendapat peluang terbaik minit ke-68 apabila bola tandukan Diogo Jota terkena tangan Adam Smith sekali gus dihadiahkan penalti.

Salah tampil mengambil sepakan namun rembatannya melepasi palang yang membolehkan Cherries bertahan untuk meraih tiga mata.

Penalti itu yang pertama untuk Liverpool dalam saingan liga musim ini dengan kali terakhir diperoleh mereka pada April 2022.

Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Klopp menegaskan tempoh lama itu antara punca rembatan Salah meliar ke atas.

Klopp berkata: "Kali terakhir kami dapat penalti, saya tak ingat bila tapi dalam saingan liga ia sudah terlalu lama. Jelas sekali.

"Ia mungkin berbeza jika kami dapat jaringkan penalti di sana. Ia mungkin tidak menjadikan prestasi bertambah bagus tetapi ia mungkin mengubah keputusan sekurang-kurangnya.

"Salah jaringkan banyak gol tetapi gagal sempurnakan penalti, itulah kehidupan."

Disiarkan pada: March 12, 2023 @ 6:38pm
d