Bola Sepak

NSFC tekad cipta kemenangan pertama

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC ditunda kerana hujan, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) kini terarah kepada pertembungan dengan Terengganu FC (TFC), di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Khamis ini.

Kelebihan beraksi di laman sendiri itu mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh skuad Hobin Jang Hobin, untuk memburu kemenangan pertama musim ini, selepas sasaran berkenaan gagal direalisasikan dalam tiga perlawanan terdahulu.

Penyerang pasukan, Mahali Jasuli yakin peluang yang dimiliki pasukannya itu untuk mencipta kemenangan pertama musim ini akan dapat direalisasikan meskipun berhadapan dengan pasukan berpengalaman seperti TFC.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memperagakan aksi lebih mantap dalam memastikan hasrat memburu tiga mata tidak lagi tersasar sekali gus usaha membawa pasukan keluar daripada kelompok terbawah liga, dapat dicapai.

"Saya dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk membantu pasukan memburu tiga mata pertama musim ini dan akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri ketika bertemu Terengganu, Khamis ini, untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

"Meskipun tugas itu bukan mudah kerana Terengganu antara pasukan yang memiliki keupayaan tinggi selain berpengalaman di pentas Liga Super, namun kami sudah mempersiapkan diri untuk mempamerkan kebangkitan.

"Menerusi persiapan yang lebih baik di mana pemain juga mendapat rehat yang secukupnya selepas perlawanan dengan KL City ditunda, saya yakin dan percaya kemenangan pertama boleh dicipta," katanya di sini, hari ini.

Bergelar pemain senior, Mahali, 33, membuktikan kelibatnya dalam skuad bimbingan K Devan itu ternyata memberi impak positif dalam membantu pasukan itu untuk melakar pencapaian terbaik pada saingan Liga Super musim ini.

Malah, Mahali yang pernah beraksi bersama Selangor FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC, antara tonggak utama Negeri Sembilan ketika ini apabila dia diberi tugas menerajui jentera serangan bersama Casagrande dalam tiga aksi sebelum ini.

Bagi pemain lincah itu, perlawanan dengan Terengganu amat penting buat pasukan berkenaan mempamerkan kebangkitan kerana cabaran dalam liga kian sengit dan sebarang peluang yang tercicir, sukar untuk mendapatkan kembali.

"Justeru, kami akan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang positif dalam perlawanan dengan Terengganu ini bagi membolehkan pasukan terus memacu kejayaan selepas itu, tambahan pula liga akan berehat seketika sebelum disambung hujung Mac ini.

"Secara peribadi sekiranya diturunkan, saya akan memberikan persembahan terbaik dan akan berusaha mendapatkan gol untuk kemenangan pasukan," kata bekas pemain kebangsaan itu yang meledak tiga gol dalam aksi pramusim, baru-baru ini.

Disiarkan pada: March 14, 2023 @ 2:33pm
d