Bola Sepak

Piala Dunia 2026 babitkan 48 pasukan, 104 perlawanan

Oleh Reuters

Kigali: Saingan Piala Dunia 2026 bakal membabitkan 104 perlawanan berbanding 64 sebelum ini disebabkan format yang diperluas kepada 48 pasukan jelas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Edisi 2026, yang akan dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, bakal menjadi saingan sulung kejohanan empat tahun sekali itu dengan membabitkan 48 pasukan.

Perlawanan akhir akan diadakan pada 19 Julai.

Format baharu itu juga akan mengekalkan empat pasukan dalam satu kumpulan selepas cadangan untuk 16 kumpulan membabitkan tiga pasukan ditolak kerana bimbang berlaku pakatan sulit dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Bagaimanapun, bilangan kumpulan akan meningkat daripada lapan kepada 12.

Pelan asal untuk edisi 2026 mempunyai sejumlah 80 perlawanan tetapi keputusan untuk menambah bilangan perlawanan kepada 104 diluluskan oleh Majlis Fifa.

Secara tradisinya, dua pasukan teratas dari setiap kumpulan mara ke pusingan 16 terakhir tetapi edisi 2026 juga akan mempunyai lapan pasukan terbaik tempat ketiga mara ke pusingan kalah mati 32.

"Majlis Fifa sebulat suara meluluskan cadangan pindaan kepada format pertandingan Piala Dunia Fifa 2026.

"Format yang disemak semula mengurangkan risiko pakatan sulit dan memastikan semua pasukan bermain sekurang-kurangnya tiga perlawanan, sambil menyediakan masa rehat yang seimbang antara pasukan yang bersaing," kata Fifa

Piala Dunia 32 pasukan di Qatar tahun lalu mempunyai sejumlah 64 perlawanan dianjurkan dalam 29 hari.

Kali terakhir Mexico (1986) dan Amerika Syarikat (1994) menjadi tuan rumah Piala Dunia, hanya membabitkan 24 pasukan.

Kejohanan itu mempunyai 32 pasukan sejak edisi 1998, dengan lapan kumpulan empat dan finalis bermain tujuh perlawanan setiap satu.

Tetapi pasukan yang mencapai pertembungan puncak pada 2026 kini akan bermain lapan perlawanan secara keseluruhan.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 12:17pm
d