Bola Sepak

Kedah fokus kekal momentum kemenangan

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu menjadikan kemenangan 3-2 ke atas Kelantan United FC (KUFC) Isnin lalu sebagai tonik terbaik untuk meneruskan momentum bagi menghadapi aksi seterusnya saingan Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Berada pada kelompok lima pasukan teratas Liga Super setakat ini, kemenangan yang diperoleh ini juga mampu mengembalikan semula semangat serta keyakinan pemain Sang Kenari.

Mereka sekali lagi akan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong yang mengharapkan kemenangan kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 di laman sendiri pada bulan ini.

Menurut Ketua Jurulatihnya Nafuzi Zain, moral pasukan yang selama ini dihimpit tekanan akibat dua kekalahan berturut-turut kepada PDRM FC dan Penang FC dijangka akan berkurangan.

Ia memberi ruang setiap pemain meningkatkan kembali keyakinan diri bagi menghadapi aksi menentang skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

"Kemenangan ini akan meningkatkan kembali moral setiap pemain untuk turun beraksi menentang Kuching City esok dan saya jangka kami akan lebih berkeyakinan untuk mencatat keputusan yang positif berbanding keadaan semasa dua kekalahan sebelum ini di Darul Aman.

"Bila kami mencapai kemenangan, saya jangka tekanan akibat kekalahan dikalangan pemain selama ini juga akan berkurangan dan mereka dijangka akan beraksi dengan lebih bermotivasi dan berkeyakinan.

"Saya juga berharap kita dapat meneruskan momentum kemenangan ini bagi mengukuhkan kedudukan kami dalam kelompok lima pasukan teratas liga sebelum liga berehat hampir dua minggu selepas ini. Ini penting bagi memulakan kembali aksi dengan 'mood' yang baik pada awal April nanti," katanya.

Tambah Nafuzi lagi, bagi memastikan Sang Kenari dapat mengekalkan momentum kemenangan, misi memperkemaskan benteng pertahanan terus menjadi tumpuannya bagi mengelakkan kesilapan demi kesilapan berulang dan boleh merugikan misi pasukan dalam usaha mendapatkan mata penuh.

"Kecuaian dan kelekaan pemain yang menyebabkan kita dihukum dengan kekalahan itulah yang kita akan terus berikan fokus dan perhatian pada aksi seterusnya agar kesilapan mudah ini tidak lagi merugikan kita.

"Jadi saya mahu memberi fokus pada isu ini bagi memastikan kami bersedia sepenuhnya untuk menentang Kuching City ini yang juga saya anggap mereka merupakan satu lagi pasukan yang boleh memberi ancaman besar buat kami jika mengambil jalan mudah," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Nafuzi juga menaruh keyakinan terhadap jentera serangan Sang Kenari melalui penyerang utamanya Willian Lira yang kembali mendapat sentuhan gol pada aksi menentang KUFC Isnin lalu.

"Saya tetap yakin dengan kemampuan oleh penyerang Willian Lira yang juga berjaya menghasilkan gol semasa aksi menentang Kelantan United dan saya tidak sangsi dengan kemampuan serta usaha yang dia tunjukkan," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2023 @ 3:05pm
d