Bola Sepak

'Kuching City tetap lawan yang sukar' - Hidalgo

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Hidalgo tidak sesekali akan memandang mudah pada aksi Liga Super kelima menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman, malam esok.

Menurut pemain posisi sayap kelahiran Argentina itu, aksi menentang Kuching City tetap dianggap sukar kerana setiap pasukan yang hadir ke Stadium Darul Aman untuk menentang KDA FC pastinya mahu berusaha membawa pulang mata berharga.

"Kita tahu Kuching City FC pasukan yang dianggap bukan pilihan atau 'underdog' dikalangan penyokong, namun bagi saya, pasukan ini juga perlu diberi perhatian kerana mana-mana pasukan sekalipun dalam Liga Malaysia ini berupaya melakukan kejutan seperti juga PDRM FC yang telah menewaskan kami baru-baru ini.

"Jadi kami perlu berhati-hati dan berwaspada dalam setiap perancangan yang akan dilakukan kerana mereka akan hadir dengan tentangan dan saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang tidak mudah untuk kami lalui.

"Setiap pasukan pada musim ini sedang memberi cabaran, kami tidak boleh melihat sekadar pada nama mereka sahaja kerana mereka juga memiliki pemain tempatan dan penyerang import yang bagus," katanya.

Hidalgo bagaimanapun berharap kemenangan 3-2 yang diperolehi Sang Kenari ke atas Kelantan United FC pada Isnin lalu dapat kembali menyuntik motivasi dan moral pasukan ke tahap yang lebih baik dalam usaha meneruskan momentum kemenangan.

"Kami kembali mendapat suntikan semangat tiga mata pada aksi menentang Kelantan United yang lalu, dan apa yang penting buat kami kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya mengikut perancangan ketua jurulatih terhadap perlawanan yang dijangka tidak mudah buat kami ini," katanya.

Hidalgo berjaya menjaringkan gol sulungnya bersama KDA FC pada musim ini menerusi sepakan penalti ketika bertemu Kelantan United FC selepas dia dikasari pertahanan lawan di hujung babak pertama.

Disiarkan pada: March 16, 2023 @ 8:18pm
d