Bola Sepak

Steinbruckner kecewa TFC kecundang

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, akui terkilan dengan pemain pasukan itu susulan kekalahan tipis kepada Negeri Sembilan FC (NSFC), 1-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Katanya, meskipun pasukannya berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi penyudah yang kurang tepat membuatkan impian mengekalkan momentum kemenangan tidak kesampaian.

"Pemain menunjukkan persembahan yang baik kerana hakikatnya Terengganu berada dalam kumpulan yang bagus pada saingan ini, banyak peluang tercipta tapi gagal disudahkan dengan jaringan gol.

"Peluang untuk menang dalam aksi malam ini (malam tadi) terbuka luas kerana ada ketikanya kami menguasai permainan, tapi peluang jaringan tidak disudahkan dengan baik.

"Mereka dilihat hilang kesabaran untuk terus berjuang walaupun telah mencipta banyak ruang terutama pada sebahagian separuh masa kedua," katanya kepada media selepas perlawanan.

Selepas Negeri Sembilan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Levy Clement Madinda pada minit ke-28, Terengganu berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Adisak Kraisorn pada minit ke-45.

Namun, hasrat untuk skuad Penyu membawa balik sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila jaringan Casagrande pada minit ke-67 membolehkan Negeri Sembilan memenangi perlawanan itu.

Disiarkan pada: March 17, 2023 @ 2:41pm
d