Bola Sepak

Steinbrukner terima surat tunjuk sebab - Ab Rasid

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Susulan prestasi pasukan Terengganu FC (TFC) yang dilihat tidak konsisten, pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbrukner dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, surat tunjuk sebab diberikan kepada jurulatih kelahiran Croatia itu bagi memintanya memberi penjelasan berhubung prestasi semasa pasukan yang dilihat tidak begitu konsisten.

Jelas Ab Rasid, pihaknya menanti apa jawapan yang bakal dikemukakan jurulatih baharu berusia 57 tahun itu bagi memastikan segala kekurangan dan permasalahan yang melanda pasukan dapat diatasi dengan seberapa segera terutama selepas pasukan kehilangan 11 mata daripada lima perlawanan.

"Berkenaan dengan prestasi semasa pasukan dalam saingan Liga Super ketika ini, seperti kita sedia maklum pasukan TFC ketika ini tidak berada dalam prestasi yang memuaskan, selepas lima perlawanan kita tewas tiga kali, sekali seri dan satu kemenangan dengan hanya mengutip empat mata daripada 15 mata penuh.

"Seperti musim-musim lepas juga, pihak pengurusan melalui jawatankuasa teknikal telah menetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) buat pengendali pasukan dengan prestasi serta sasaran mata yang sepatutnya mereka peroleh.

"Bagaimanapun kami tegaskan keadaan masih terkawal dan harus diingat kita baharu sahaja menghadapi lima perlawanan dan kita masih ada 21 baki perlawanan liga, masih ada saingan Piala FA, Piala Malaysia dan juga Piala AFC.

"Sejujurnya ia tidak adil juga jika kita 'menghukum' pasukan hanya berdasarkan saingan awal liga ini.

"Saya masih percaya mereka memerlukan sedikit masa lagi untuk menemui rentak sebenar dan pihak pengurusan melalui jawatankuasa teknikal juga sedang giat mengkaji serta merangka pelan untuk perbincangan dengan barisan kejurulatihan bagi memastikan kekurangan pasukan ini," katanya ketika dihubungi.

Berkenaan rata-rata peminat setia TFC yang kian 'panas' dan tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan selain 'berang' taktikal jurulatih sebagaimana yang dilontarkan dalam media sosial, Ab Rasid tidak mahu menyalahkan peminat sebaliknya memintanya bertenang.

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 1:17pm
d