Bola Sepak

Indahnya bacaan al-Quran bintang muda Man United [VIDEO]

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bintang muda Manchester United yang kini dalam pembikinan, Amir Ibragimov mencuri tumpuan dunia dengan alunan hafalan al-Quran lancar dan suara yang cukup lunak.

Menerusi satu perkongsian video di aplikasi TikTok yang dikongsikan abangnya, Ibragim Ibragimov menyaksikan Amir dilihat menghafal surah al-Furqan dengan baik sekali.

Hasil perkongsian itu, ia meraih perhatian peminat seluruh dunia termasuk 2 juta tanda suka, 3,767 komen dan 19,000 perkongsian di TikTok.

"Baru mendengar bacaan daripada Amir dan suaranya cukup menakjubkan. Alhamdulillah, Alhamdulillah dan Alhamdulillah," tulis Husain Hassen.

Seorang lagi peminat berkata, "Merdunya suara dia," kata Zameenaahmad380.

Untuk rekod, Amir berusia 15 tahun dan kini beraksi untuk pasukan remaja Manchester United.

Di kelab itu, dia dilabel pemain yang memiliki bakat dan komitmen cukup tinggi bersama pasukan apabila pernah beraksi dua perlawanan dalam sehari dengan dua pasukan berbeza.

Pada Januari lalu, Amir bermain dengan pasukan B-16 MU menentang Liverpool, dan dia meledak satu gol buat pasukannya.

Kemudian beberapa jam selepas itu, dia terus bergegas beraksi buat skuad B-18 MU untuk menentang Liverpool juga, dan berjaya membantu pasukan meraih kemenangan.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 5:48pm
d