Bola Sepak

Fayadh enggan putus asa pikat hati Pan-gon

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun sedar agak sukar untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama, namun Fayadh Zulkifli Amin tidak mahu mengalah sebaliknya akan berusaha untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sepanjang sesi latihan pusat di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Padang Seri Gelam, di sini.

Dia yang ditemui sebelum memulakan latihan pada hari kedua skuad kebangsaan menegaskan dalam permainan bola sepak tiada apa yang mustahil malah perlu ada keazaman dan kesungguhan sekiranya mahu menggapai apa yang diimpikan.

"Sememangnya teruja apabila memulakan latihan bersama skuad Harimau Malaya buat pertama kali dan ia cukup mengujakan walaupun dikelilingi oleh pemain-pemain yang berkualiti tapi itu bukan alasan untuk saya tidak menonjolkan diri.

"Di lihat kepada senarai pemain yang dipanggil, posisi saya di sayap kiri dibarisi pemain yang hebat seperti Corbin Ong, Faisal Halim, Daniel Ting dan beberapa pemain lain namun saya berusaha untuk mengikuti latihan di bawah ketua jurulatih (Pang-gon) dan memahami kehendak taktikalnya.

"Saya tidak menafikan jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain yang banyak membantu bagi menaikkan kembali prestasi apabila kerap diturunkan pada aksi Liga Super dan ia beri impak positif apabila memberi lebih keyakinan tatkala beraksi di padang," katanya.

Fayadh juga mengakui agak malu ketika bersama-sama menjalani latihan dengan pemain yang lebih senior namun kata-kata perangsang oleh pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) , Syafiq Ahmad membuatkan dirinya kembali yakin untuk meneruskan latihan.

Ditanya mengenai aspek fizikal tatkala perlu bersaing dengan pemain yang lebih mantap, Fayadh menganggap ia bukan alasan malah sepanjang aksi bersama KDA FC, dia sering berdepan dengan pemain yang lebih tinggi daripadanya.

"Daripada sudut fizikal memang akan ada cabaran kerana saya perlu bersaing dengan pemain-pemain yang bersaiz lebih besar dan tinggi, namun saya percaya itu bukan halangan menjadi seorang pemain bola sepak yang baik.

"Saya akui intensiti latihan di bawah Pan-gon cukup berbeza dengan kelab apabila jurulatih mahu lebih daripada apa yang semua pemain ada dan kami perlu lebih fokus dan memberi sepenuh perhatian terhadap modul latihan yang diterapkan," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 6:16pm
d