Bola Sepak

NSFC perlu kekal rentak

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kemenangan pertama diraih skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super musim ini mampu memberikan motivasi lebih tinggi kepada pemain untuk meneruskan rentak kemenangan pada aksi berikutnya.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan yakin semangat dan keyakinan pemain skuad Hobin Jang Hobin kini kembali meningkat hasil kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC), Khamis lalu.

Katanya, kemenangan 2-1 itu bakal menjadi permulaan buat pasukannya untuk meneruskan langkah cemerlang dalam perlawanan akan datang.

"Kami bermula dalam saingan Liga Super musim ini sedikit perlahan apabila sekadar mencatat dua keputusan seri bertemu Sri Pahang FC di laman sendiri dan kemudian dengan Penang FC di tempat lawan.

"Kekalahan kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) memang sudah dijangka kerana JDT pasukan serba lengkap, tapi ia tidak melunturkan semangat pemain apabila akhirnya kami berjaya bangkit menewaskan Terengganu.

"Saya yakin dan percaya hasil kemenangan pertama itu akan meningkatkan lagi motivasi rakan-rakan dan seterusnya lebih bersemangat untuk memberikan persembahan lebih cemerlang pada perlawanan akan datang," katanya di sini, hari ini.

Nasrullah yang kini menggalas tugas berat apabila diberi amanah sebagai kapten Negeri Sembilan dalam setiap perlawanan, sedar cabaran akan datang lebih berliku kerana setiap pasukan tidak inginkan kehilangan mata dalam setiap perlawanan.

Namun, tonggak pertahanan kelahiran Seremban ini percaya, tempoh rehat hampir dua minggu bakal memberi ruang pada dirinya dan rakan dalam pasukan berkenaan untuk mengumpulkan kekuatan sebelum berhadapan dengan Kelantan FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 1 April nanti.

Selepas menamatkan empat perlawanan liga, skuad bimbingan K Devan kini berada pada kedudukan kelapan carta dengan mengumpul lima mata, berbanding Kelantan yang bakal ditemui pada 1 April berada di tangga ke-10 dengan meraih empat mata.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 10:14pm
d