Bola Sepak

Khidmat Silva jadi tanda tanya

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak dapat mengesahkan sama ada penyerang import, Lucas Silva akan dapat beraksi sebaik saingan Liga Super bersambung nanti.

Beliau berkata, ini kerana penyerang berusia 33 tahun itu sedang dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan sebelum saingan Liga Super bermula.

"Setakat ini saya tidak pasti Silva akan bermain sebaik liga bersambung kerana dia masih dalam pemulihan.

"Jika diikutkan Silva mahu bermain tetapi kita mahu kecederaan pulih sepenuhnya sebelum beraksi.

"Tetapi dia sudah mula menjalani latihan ringan termasuk berjoging," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Selepas lima perlawanan liga, penyerang Liberia, Kpah Sherman menjadi sandaran utama skuad Tok Gajah merobek gawang lawan.

Difahamkan, Silva memerlukan tempoh kira-kira sebulan lagi untuk kembali memperkasakan skuad itu dan bergandingan dengan Sherman.

Fandi berkata, sekiranya Silva dapat disenaraikan, beliau percaya tekanan tidak hanya kepada Sherman untuk mengetuai jentera serangan.

"Mudah-mudahan, Silva dapat bersama pasukan dan pulih untuk menajamkan jentera serangan," katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima Liga Super dengan mengutip sembilan mata daripada dua kemenangan dan tiga seri.

Pada masa sama, Sri Pahang layak ke pusingan kedua Piala FA dan akan berdepan Selangor FC pada 15 April depan.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 10:22pm
d