Bola Sepak

Pasukan Liga-M akan dapat 'wang besar' - Stuart

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) boleh tersenyum lebar apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mengagihkan 'duit raya' lebih besar kepada mereka untuk mengharungi saingan musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pasukan Liga-M kemungkinan akan menerima pengagihan dana 90 peratus lebih banyak berbanding musim lalu.

Walaupun tidak mendedahkan jumlah sebenar bakal diterima pasukan, Stuart berkata, dana agihan itu sudah dimaklumkan kepada semua ketua pegawai eksekutif (CEO) pasukan dan keputusan sudah diambil bersama semua CEO terbabit.

"Dana agihan itu akan dijelaskan dan diumumkan secara rasmi ketika adanya rehat antarabangsa buat masa ini. Kami akan keluarkan pengumumannya dalam minggu ini.

"Daripada pengumuman terbabit, semua boleh lihat memang ada penambahan jumlah yang besar membabitkan agihan kepada pasukan.

"(Peningkatan) lebih 90 peratus penambahan akan diagihkan kepada semua pasukan dari tahun lalu. Ia boleh dilihat daripada jumlah yang akan disebarkan nanti," katanya.

Bagi musim 2022, pasukan Liga Super menerima antara RM500,000 dan RM1.5 juta sementara pasukan Liga Perdana menerima sekitar RM250,000 hingga RM500,000 bergantung kepada prestasi pasukan.

Setiap pasukan Liga Super akan menerima geran tahunan RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana pula sebanyak RM1 juta.

Susulan situasi kewangan pada 2019, pasukan Liga-M hanya menerima geran tahunan yang kini dikenali sebagai agihan hak penyiaran sebanyak separuh iaitu RM1.5 juta buat pasukan Liga Super sementara RM500,000 untuk pasukan Liga Perdana.

Bagi musim 2020, jumlah itu terus menyusut buat pasukan Liga Super apabila mereka menerima RM1 juta dan RM500,000 diberikan kepada pasukan Liga Perdana sebagai agihan hak penyiaran.

Namun, pada musim 2021, jumlah penajaan kepada pasukan Liga-M tidak diumumkan kepada umum atas faktor tertentu.

Disiarkan pada: March 21, 2023 @ 3:02pm
d