Bola Sepak

United bakal pecah rekod dunia [METROTV]

Oleh Agensi

London: Manchester United dijangka dijual dengan harga rekod dunia jika keluarga Glazers menerima salah satu bidaan ke atas kelab itu.

Pegawai United yakin tawaran lebih daripada £5 bilion (RM27.33 bilion) akan diterima menjelang tarikh akhir bidaan esok sekali gus memintas bayaran pembelian $4.65 bilion (RM20.79 bilion) yang diterima kelab NFL Denver Broncos tahun lalu.

United menjangkakan enam bidaan yang merangkumi gabungan pengambil alihan sepenuhnya dan sebahagian pelaburan.

Sekurang-kurangnya dua bidaan didedahkan media - bidaan dari Qatar dan Sir Jim Ratcliffe yanag dijangka melepasi £5 bilion (RM27.33 bilion). Tawaran awal dilaporkan menghampiri £4.5 bilion RM24.60 bilion).

Minggu lalu, delegasi Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani melawat Old Trafford dan Carrington selain menghadiri sesi penerangan serta soal jawab yang berlanjutan lebih 10 jam dalam suasana positif.

Manakala lawatan Ratcliffe dan kumpulannya memakan masa sekitar tiga jam lebih awal dan difahamkan mereka juga berjaya menarik minat hierarki United.

Sekitar lapan kumpulan turut diberi peluang melawat stadium dan pusat latihan manakala Jimmy Murphy Centre yang selalunya digunakan media dan untuk sidang akhbar bertukar menjadi bilik jualan untuk tempoh dua minggu.

Disiarkan pada: March 21, 2023 @ 10:24pm
d