Bola Sepak

Permulaan baik Sri Pahang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mahu skuad kendalian Fandi Ahmad mempertingkatkan disiplin diri sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata disiplin itu lebih kepada dalam soal pemakanan untuk meletakkan prestasi terbaik skuad itu.

"SPFC mahu pemain sentiasa mengutamakan prestasi bukan sahaja daripada segi kecergasan, malah mental sebaik Liga Super bersambung nanti.

"Pada masa sama, saingan liga yang bersambung pada Ramadan yang menyaksikan Sri Pahang akan bermain pada Ramadan ini termasuk aksi pusingan kedua Piala FA.

"Diharapkan jadual yang dikendalikan ketua jurulatih (Fandi) sepanjang Ramadan ini membentuk pasukan yang lebih mantap," katanya.

Mengulas pencapaian Sri Pahang selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super, Mohammed Suffian berpuas hati dengan komitmen yang dipersembahkan skuad itu.

Katanya, keputusan yang diperoleh itu adalah permulaan yang baik kerana tidak mengalami kekalahan.

"Namun, cabaran lebih besar bakal menanti pasukan apabila berdepan pasukan yang lebih bagus selepas ini.

"Tapi dengan semangat dan persefahaman yang dipersembahkan pemain, saya percaya aksi lebih baik dan bertenaga mampu dipersembahkan semua pemain.

"Lima perlawanan tanpa kalah juga turut membantu meningkatkan moral pemain untuk mendapat keputusan perlawanan positif," katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima Liga Super dengan mengutip sembilan mata daripada dua kemenangan dan tiga seri.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 4:18pm
d