Bola Sepak

Kogileswaran mahu pikat semula hati Pan-gon

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kejayaan anak Malaysia, R Kogileswaran meraih debut pertamanya di Liga Korea Selatan sebenarnya didorong oleh semangat membara untuk kembali mencuri tempat dalam skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon.

Kogileswaran, 24, yang berjaya dihubungi Arena Metro selepas selesai menjalani latihan bersama kelabnya, Chungbuk Cheongju hari ini mendedahkan bukan mudah buatnya merebut tempat dalam kesebelasan utama Chungbuk.

Namun dengan berbekalkan motivasi tinggi dengan terbang jauh beraksi di Liga Korea Selatan itu, akhirnya pemain tengah menyerang itu diberi kepercayaan menentang Seoul Jungnang dalam aksi pusingan ketiga Piala FA Korea yang menyaksikan kelabnya menang 3-0.

Jelas Kogileswaran, tahap bola sepak di Korea daripada divisyen bawah hingga satu sebenarnya cukup tinggi dan berkualiti, malah tiada jurang besar antara pasukan bawahan dan atasan.

"Itu adalah sasaran pertama saya (kembali ke skuad Harimau Malaya). Saya datang ke Korea untuk beraksi dan bermain untuk dipanggil semula ke dalam skuad Harimau Malaya.

"Ini motivasi terbaik saya (disenarai dalam kesebelasan utama Chungbuk) dan, saya mahu beraksi baik juga untuk pasukan negara. Untuk saya, negara datang dulu kemudian baru kelab," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, anak saudara kepada Titus James Palani ini mengakui banyak meraih ilmu baharu bola sepak di Korea termasuk DNA yang sedang diterapkan Pan-gon bersama skuad Harimau Malaya ketika ini.

Ujarnya, perkara penting mengenai bola sepak Korea adalah mengenai 'high pressing' dan kepantasan ketika beraksi, dan dia akui semakin serasi dengan gaya permainan itu.

"Apa yang di bawa Pan-gon di pasukan kebangsaan, sama dengan apa yang saya lalui di Korea ini. Kelab saya mengamalkan cara permainan sama dan ini sebenarnya memberi kelebihan buat saya untuk memahami lebih mendalam.

"Kalau dipanggil oleh pasukan negara, saya sudah tahu bagaimana sistem itu berfungsi dan ia beri kelebihan buat saya nanti," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2023 @ 2:53pm
d