Bola Sepak

Doa untuk Khalid Ali

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Khalid Ali memohon doa daripada seluruh peminat tanah air selepas beliau mengalami masalah paru-paru.

Khalid, 65, yang pernah membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan selepas sukar bernafas.

Namun katanya, selepas pemeriksaan lanjut mendapati ada sedikit pendarahan di bahagian paru-parunya, dan pemeriksaan lanjut sudah dilakukan dengan keputusan akhir akan diketahui pada 10 April ini.

"Doakan kesihatan saya. Tadi buat 'endoscopy' ada sikit masalah di paru-paru. Kata doktor kanser tapi 10 hari bulan (April) baru keputusan peringkat berapa (diketahui).

"Kata doktor masih boleh rawat. Maaf ramai tanya saya, susah jawap sedih bila jawap, maafkan ya," katanya.

Ujarnya lagi, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang menampung rawatannya.

"Terima kasih kepada Yakeb, mereka bantu saya termasuk sepanjang saya dapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed mengesahkan pihaknya akan menanggung segala keperluan diperlukan Khalid sepanjang rawatan di PPUM.

"Kita ada berjumpa dengannya di PPUM semalam. Keputusan tentang penyakitnya itu akan diketahui pada 10 April nanti.

"Kita akan bantu Khalid dan akan menanggung kos rawatannya nanti," kata Noorul Ariffin.

Disiarkan pada: March 31, 2023 @ 7:07pm
d